Negeri Pahang adalah salah satu yang disenaraikan antara yang terjejas mengalami bencana El- Nino terutama dikawasan Temerloh. Akibatnya, di beberapa kawasan Sungai Pahang yang sangat terkenal dengan sumber perikanan ikan patin airnya menjadi cetek. Namun begitu, disebalik kebimbangan penduduk kampung terutama di kawasan kampung Durian Tawar, ini adalah satu peluang bagi mereka untuk mencari sumber perikanan eksotik iaitu etak, remis dan kijing yang mana hidupan ini sangai sesuai untuk  dijadikan hidangan malam di penduduk kawasan ini. Di kawasan sungai sekitar Kg Durian Tawar merupakan lubuk utama di mana bukan sahaja penduduk kampung, malahan pengunjung dari bandar Bera dan Temerloh dan juga felda- felda gugusan Bera turut turun ke sini sekali gus menjadikan kawasan ini sebagai pesta keluarga dan tumpuan untuk beriadah pada waktu petang untuk bermandi sungai yang cetek dan tidak berbahaya terutama buat anak- anak yang masih kecil. Keadaan yang jarang berlaku ini menyebabkan keadaan lalu lintas sesak dek kerana pemandu yang melalui jalan utama Temerloh- Triang ini juga turut tertarik dengan aktiviti sungai ini. 

Kebanyakan pengunjung yang dari kalangan penduduk kawasan sekitar Bera dilihat menggunakan peralatan seperti jaring dan sangkar buatan sendiri menggunakan penutup kipas. Jam 5.00 petang kebiasaanya selepas asar ramai yang sudah mula turun untuk menangkap etak kerana cuaca lebih redup ketika itu bebanding tegahari yang terik dan mereka berhenti sehingga sebelum waktu magrib iaitu lebih kurang jam 7.00 petang. Hasil tangkapan ada yang mencecah sehingga 1 kilogram dan adakalanya lebih dari itu jika rajin dan sanggup berkubang di dalam sungai yang cetek. 

Mengikut kata orang- orang kampung, selepas hasil etak diambil, perlulah direndam dengan air semalaman supaya masakan tidak berpasir.Antara menu hidangan yang digemari adalah etak masak sambal berlada, etak rebus cicah sos lada, dan ada juga etak salai. Etak yang dicari bukan untuk di jual bahkan sebagai santapan seisi keluarga kerana ianya jarang dan susah didapati dalam kuantiti yang banyak selain pada musim kemarau ini. 

Melalui aktiviti ini, bukan sahaja berpuas hati dengan sumber yang didapati malahan hubungan kekeluargaan, persahabatan serta jaringan sosial dapat dieratkan dan ia juga menaikkan lagi nama Kg Durian Tawar dan daerah Bera sebagai sumber carian etak pada musim kemarau ini.